Suasana orang ramai pada hari pertama sempena Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Guru-guru dan para pelajar teruja menyertai Hari Terbuka National Integrated College (NIC) yang berlangsung di Pusat Membeli Belah Datum Jelatek semalam.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama DatumCorp International, Pusat Membeli Belah Datum Jelatek, BECTA Training Academy dan MalaysiaGazette.

Zubaidah Sirajuddin

Guru Kaunseling SMK Triang Tiga, Zubaidah Sirajuddin berkata, seramai 40 pelajar yang dibawanya telah diberikan maklumat lengkap dalam membuat keputusan untuk hala tuju pendidikan mereka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Beliau yang menjadi salah seorang daripada empat guru pengiring itu berkata, program yang dianjurkan itu telah membuka mata para pelajarnya tentang pentingnya untuk melanjutkan pendidikan.

“Program seumpama ini turut memberi inspirasi, semangat dan perangsang kepada mereka dalam memilih bidang pendidikan seterusnya,” katanya.

Muhammad Abid Ajemal

Seorang lepasan SPM, Muhammad Abid Ajemal berkata, dia menyertai hari terbuka itu untuk membantunya dalam menentukan hala tuju pelajarannya nanti.

Selain melihat kursus-kursus yang ditawarkan, saya sendiri mendapatkan maklumat mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyalurkan bantuan pinjaman kepada para pelajar yang memerlukan.

“Banyak input yang saya peroleh daripada kunjungan pada Hari Terbuka NIC ini,” ujarnya.

Nurul Shahana Mohd Shaiful

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan lima SMK Seri Bera, Nurul Shahana Mohd Shaiful berkata, dia telah datang ke hari terbuka itu bersama rakan-rakanya dalam satu rombongan di bawah kelab kaunseling sekolah.

“Saya berasa sangat teruja kerana mendapat pelbagai pengetahuan untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM nanti.

“Tentunya, pengetahuan ini membantu kami dalam memilih kursus nanti,” katanya.

Zuraimy Abd Ghani

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif NIC, Zuraimy Abdul Ghani berkata, NIC menawarkan tujuh pilihan pengajian diploma yang telah diiktiraf MQA iaitu pengurusan perniagaan, pendidikan awal kanak-kanak, pengurusan industri halal, pengurusan kesihatan, sumber manusia, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta psikologi.

“NIC juga menawarkan kursus tiga hari kepada para peserta yang mahu melibatkan diri dalam bidang kulinari.

“Selepas sahaja tamat sahaja kursus itu, para pelajar akan terus mendapat pekerjaan dalam bidang pengurusan makanan di restoran yang bekerjasama dengan pihak kolej ini,” katanya.

Peserta kursus juga akan dilatih untuk bekerja di dapur dan disiplin dalam bidang kulinari.

Dalam kursus itu, pelajar akan dididik oleh Chef Selebriti iaitu Chef Riz, atau nama sebenarnya Muhammad Nazri Rezuawan.

Mengulas mengenai penganjuran Hari Terbuka NIC, beliau berkataa, pelajar yang mendaftar ditawarkan pelbagai faedah termasuk tidak perlu membayar wang pendaftaran dan menerima wang poket selama setahun.

“Bagi pelajar kurang berkemampuan, mereka berpeluang untuk mendapat pinjaman penuh daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain biasiswa oleh NIC.

“Pelajar yang mendapat  Purata Nilai Gred  3.0 dan ke atas pada semester satu, akan memberikan tablet percuma sekiranya dia mempunyai rekod yang baik sebagai pelajar di situ,” katanya.

Zuraimy menambah, NIC juga menyediakan sesi kaunseling untuk membantu para pelajar membuat keputusan yang tepat demi masa depan pendidikan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast