Pameran hasil inovasi pelajar UMS kepada guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Badin.

TUARAN – Universiti Malaysia Sabah menganjurkan Hari Bioteknologi sempena Karnival SENADI 2024 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, di sini, baru-baru ini dalam usaha memperkasa bidang inovasi dalam kalangan masyarakat setempat.

Program anjuran Kelab Bioteknologi UMS dan Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HiUMS) tersebut bertujuan menarik minat pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah ke arah bidang STEM.

Menurut penyelaras program, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, Karnival SENADI 2024 merupakan salah satu program SULAM (Servis Learning Malaysia and University for Society) untuk mengerat hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

“Program ini sebagai salah satu usaha UMS memperkasa peranan universiti dalam pembangunan masyarakat dengan memperkenalkan para peserta kepada aplikasi praktikal sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk mempraktikkan teori dalam konteks sebenar kepada masyarakat di samping mengembangkan keterampilan diri dalam memperkukuh kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan dan komunikasi,” katanya.

Salah satu aktiviti latihan dalam kumpulan.

Tambah Mohd Khalizan, melalui program ini juga para pelajar UMS dapat meningkatkan kesedaran sosial serta peka kepada isu-isu keperluan komuniti setempat.

“Program ini melibatkan 69 pelajar UMS yang menjalani kursus Rekabentuk Projek dalam Bioteknologi dan disertai oleh para pelajar dalam golongan keluarga B40 SMK Badin.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran kelestarian alam, teknologi hijau dan keselamatan makanan, latihan berkumpulan serta senamrobik,” tambahnya. – MalaysiaGazette