Petugas dari Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang membuat semburan kabus nyamuk Aedes yang menjadi punca kepada penyakit denggi di sebuah kawasan perumahan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28 tahun 2024 antara 7 hingga 13 Julai sebanyak 2,373 kes berbanding 2,805 kes pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-28 adalah sebanyak 80,441 kes berbanding 63,966 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

Manakala terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 45 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu tersebut adalah sebanyak 100 lokaliti berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu
sebelumnya.

Dari 100 lokaliti yang dilaporkan, 74 lokaliti di Selangor, enam (6) lokaliti di Negeri Sembilan, enam (6) lokaliti di Perak, enam (6) lokaliti di
WPKL & Putrajaya, empat (4) lokaliti di Kedah, dua (2) lokaliti di Pulau Pinang, satu (1) lokaliti di Negeri Sarawak dan satu (1) lokaliti di Sabah.

Bagi survelan chikungunya, terdapat tujuh (7) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-28. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 54 kes.

Menurutnya, tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,437 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan
hasil kesemuanya adalah negatif. – MalaysiaGazette