Onn Hafiz meminta orang ramai membantu mengesan seorang kanak-kanak perempuan yang hilang ketika festival Bon Odori berlangsung di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, sejak semalam.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor meminta orang ramai bersama-sama membantu mencari seorang kanak-kanak yang hilang ketika festival Bon Odori berlangsung di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri semalam.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama tersebut amat diperlukan dan jika mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak itu boleh melaporkan segera di balai polis berhampiran.

“Saya telah menerima laporan berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang hilang pada 20 Julai lalu pada pukul 8.30 malam akibat terpisah daripada keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut, sila laporkan segera pada balai polis berhampiran.

“Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya sebentar tadi.

Kanak-kanak perempuan tersebut, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asiaten Komisioner M Kumarasan berkata, kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

“Kanak-kanak berusia enam tahun itu dikesan di lokasi terakhir iaitu di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” kata Kumarasan.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan itu sesak dengan kehadiran pengunjung. – MalaysiaGazette