File picture

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan pada kecenderungan positif menjelang anggaran eksport dan pengeluaran utama minggu depan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau menjangkakan anggaran eksport akan datang adalah lebih kukuh manakala pengeluaran akan meningkat lima peratus dari bulan ke bulan.

“Oleh itu, kami mengunjurkan pasaran akan didagangkan antara RM3,850 dan RM4,000 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies, Jim Teh berkata pasaran MSM akan diniagakan antara RM3,900 hingga RM4,000 setiap tan metrik.

“Paras stok MSM adalah tinggi dan melihat kepada paras ringgit semasa, ini akan meningkatkan permintaan fizikal dari India, China, Pakistan, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Pada asas mingguan, bulan semerta yang baru berakhir Jumaat berada pada RM4,013 satu tan, September naik RM66 kepada RM3,981 satu tan, Oktober 2024 meningkat RM69 kepada RM3,961 satu tan, November 2024 menokok sebanyak RM65 kepada RM3,949 satu tan, Disember 2024 adalah lebih baik sebanyak RM58 kepada RM3,949 satu tan dan Januari 2025 berada pada RM3,956 satu tan.

Jumlah  dagangan mingguan menyusut kepada 257,940 lot berbanding 300,702 yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 216,922 kontra daripada 221,682.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan bertambah sebanyak RM20 kepada RM4,050 satu tan semalam daripada RM4,030 seminggu sebelum ini. – BERNAMA