repatriation mission malaysians New Delhi Mumbai India Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Para pelajar Malaysia yang terkesan dengan perintah berkurung di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah menjadi keutamaannya.

“Kementerian ini memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli-ahli keluarga mereka di Bangladesh. Selain menilai dengan teliti akan perkembangan terhadap situasi semasa, kementerian ini dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua opsyen yang ada, termasuk evakuasi, jika perlu.

“Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya.

Semalam, Kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar.

Perkara itu diumumkan oleh tentera Bangladesh.

Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa lalu manakala sekurang-kurangnya 56 kematian dilaporkan pada Jumaat.

Ia juga memohon semua pelajar Malaysia agar berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Bilik Operasi telah dibuka di Kementerian dan boleh dihubungi di nombor telefon +603-8887 4570 atau emel [email protected]

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri menggesa rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk
rakyat Malaysia di Bangladesh dengan melakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi.

Kementerian Luar Negeri menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa.

“Kementerian ini memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette