Asisten Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza warna merah yang melanggar seorang pejalan kaki sehingga mati pada awal pagi tadi tampil menyerah diri petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berkenaan menyerah diri pada pukul 3.30 petang selepas hampir 12 jam kejadian langgar lari itu berlaku.

“Kejadian langgar lari itu berlaku pukul 4.30 pagi di Kilometer 0.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala ke bandar raya ini yang mengorbankan nyawa seorang lelaki berusia 30-an.

“Pemandu kereta Perodua Alza warna merah yang diburu itu tampil menyerah diri dan ditangkap petang tadi.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif manakala ujian saringan pernafasan bagi mengesan alkohol dalam badan didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam ini.

Terdahulu portal ini melaporkan bahawa polis sedang giat mengesan pemandu Perodua Alza terbabit yang disyaki melanggar lari dan menyebabkan kematian seorang pejalan kaki.

Kemalangan itu dipercayai membabitkan mangsa lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.

Mangsa yang dirempuh mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.

Pemandu kenderaan terbabit tidak berhenti dan terus melarikan diri selepas nahas tersebut berlaku.

Menurut Raub, kes dipinda kepada Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

“Pemandu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok,” katanya. – MalaysiaGazette