KUALA LUMPUR – Permintaan industri terhadap lepasan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Ts Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pelbagai syarikat termasuk Suzuki, Modenas dan ECRL dalam membekalkan tenaga kerja mahir yang diperlukan.
Menurutnya, syarikat berkenaan memerlukan tenaga kerja yang melibatkan kepakaran baharu termasuk kenderaan yang menggunakan bateri elektrik.
“Syarikat Suzuki kekurangan mekanik motosikal berkuasa tinggi yang menjadi trend sekarang ini. Apa yang kita buat, laksana program dengan Suzuki dengan set kemahiran yang diperlukan.
“Kita jadikan GiatMara sebagai kilang pendidikan bila pelatih ini keluar pertama sudah tentu gajinya premium dan dapat bantu pelatih yang keluar bekerja sebagai mekanik.
“Minggu lepas saya berbincang dengan ECRL yang berada dalam peringkat akhir. Mereka memerlukan banyak juruteknik bila siap. Lepasan TVET ini bila mereka keluar memperoleh gaji yang premium,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Platform MG terbitan MalaysiaGazette dengan kerjasama Datum Jelatek Shopping Centre selaku penaja lokasi dan Datumcorp International Sdn Bhd yang bertajuk TVET: Adakah Malaysia Terlewat.
Turut menjadi ahli panel Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Dalila Sharingat dan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Bagi memenuhi kehendak pasaran, pihaknya telah menghantar tenaga pengajar ke syarikat terbabit bagi meningkatkan kemahiran yang diperlukan kemudian diajar kepada pelatih TVET.
“Dalam dua tiga bulan lagi Modenas EV akan mula berada di pasaran. Siapa yang akan melakukan kerja-kerja berkemahiran tinggi ini?
“Kita telah hantar beberapa pengajar ke Modenas, insya-Allah dengan program yang dibuat ini kita boleh menyokong kekurangan tenaga mahir dalam bidang tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Dalila berkata, kerjasama dengan industri semakin diperkukuh dalam memenuhi permintaan terhadap pekerja mahir kerana bidang yang diperlukan sentiasa berubah.
“Institusi dan Jabatan Pembangunan Kemahiran ada platform yang mengumpulkan industri berkaitan mengikut bidang pekerjaan untuk melihat permintaan baru yang wujud untuk institusi TVET bekalkan pekerja yang bersesuain mengikut keperluan industri.
“Contohnya sekarang kursus lama yang tidak diperlukan ada telah jumudkan. Kursus baharu dalam bidang IT, AI, keselamatan siber banyak institusi TVET telah buat. Industri minyak dan gas di Pengerang, kita ada institut tertentu untuk bekalkan tenaga mahir kepada industri ini,” katanya.
Mereka berkata, lulusan TVET keluaran GiatMARA dan IKTBN telah diiktiraf oleh pihak industri dan kadang kala permintaan terhadap tenaga mahir yang diperlukan adalah tinggi.-MalaysiaGazette