Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2024

CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama mengibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan bagi mempamerkan kesetiaan pada negara.

Perdana Menteri turut mengarahkan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta, untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Tegas beliau, meraikan Hari Kemerdekaan bukanlah isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan sebaliknya soal jati diri, maruah dan harga diri.

“Apa yang sukarnya? Orang dulu korban segala-galanya, golongan ibu di kampung, keluarkan rantai dan perhiasan mereka, jadi tabung untuk perjuangan.

“Dan pada 1955, tabung untuk penerbangan pemimpin ke London, dan pulang. Kerana kos terlalu tinggi, itu pengorbanan mereka.

“Saya minta kibarkan Jalur Gemilang, boleh? Kita kena pastikan, dan kalau orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti, bukan isu kedudukan, atau pekerjaan. Ini soal jati diri, soal maruah, soal harga diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyber Event Hall hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selari dengan tema tahun ini iaitu Malaysia Madani – Jiwa Merdeka, kibaran Jalur Gemilang boleh dilihat sebagai cerminan kemegahan setiap rakyat Malaysia dengan negara ini.

Tambah beliau, tindakan itu juga sebagai tanda pengorbanan dan mendukung semangat kemerdekaan yang diperoleh tanah air sejak 67 tahun lalu.

“Mulai hari ini, komuniti Madani, setiap jabatan, setiap rakyat, setiap kedai, warung, kaya miskin, kota dan desa, kita hendak memastikan tunjukkan bahawa kamu bersama ‘Jiwa Merdeka’, hebatkan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat merupakan wadah untuk terus menyuburkan semangat kenegardan dan patriotisme.

Sambutan ini adalah bagi memulakan kiraan detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September ini di Sabah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dan pelbagai program yang diadakan sepanjang bulan kebangsaan di laman sesawang ww.merdeka360.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast