KUALA LUMPUR – Bacaan Qunut nazilah di Dewan Rakyat tidak ditujukan kepada Kerajaan Perpaduan, jelas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.
Beliau yang sebelum itu digantung dari memasuki Dewan Rakyat selama enam bulan menafikan bacaan itu yang dibacakan oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, ditujukan kepada pemimpin kerajaan.
Malah menurut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, doa tersebut ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza, Palestin seperti syarikat BlackRock.
“Saya ada di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, membacakan Doa Qunut Nazilah.
“Beliau tidak tujukan kepada Kerajaan Perpaduan, apatah lagi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Jumaat menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai tidak menggambarkan akhlak politik Islam.
Malah Saifuddin turut berkata, doa memohon kehancuran terhadap lawan politik adalah satu perbuatan yang melampaui batas.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut berkata, doa itu adalah bersifat umum dan tidak khusus kepada seteru politik seperti didakwa menteri berkenaan dan turut mempersoalkan mengapa menteri terbabit terasa dengan doa yang dibacakan berkenaan.
“Ingat prinsip usul fiqh dalam membuat penghakiman: al-hukm ‘ala shay’ far’un ‘an tasawwurihi (membuat hukum ke atas sesuatu perkara mestilah dibuat selepas mendapat gambaran penuh tentang perkara itu.
“Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan!”, katanya.
Khamis lalu, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan qunut nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain. – MalaysiaGazette