Seorang lelaki yang lemas pagi tadi ditemukan mayatnya pada pukul 3.19 petang pada jarak kira-kira 100 meter dari Pantai Batu Layar, Kota Tinggi. Foto ihsan bomba Johor

KOTA TINGGI – Seorang daripada dua pemuda yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar, di sini, pagi tadi ditemukan mayatnya pada sebelah petang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Penguasa Bomba Mohammad Saifulizam Mohd Rofi berkata, mayat Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemui terdampar pada pukul 3.19 petang.

“Mayat berkenaan dijumpai pada jarak ebih kurang 100 meter dari persisiran Pantai Batu Layar. Mayat kemudian di bawa ke Hospital Kota Tinggi.

“Pasukan penyelamat mempergiatkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa dikenali sebagai Haqim Abdul Rahim Lee yang berusia 20 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada pukul 9.30 pagi, Muhammad Syahmi dan Haqim Abdul Rahim dilihat oleh orang awam terkapai-kapai dipukul ombak ketika mandi dan kemudian tenggelam hilang dari pandangan.

Mayat Muhammad Syahmie yang ditemui petang tadi dibawa ke Hospital Kota Tinggi hari ini untuk bedah siasat. Foto ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor

Sementara itu, Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengkoordinasikan operasi itu dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan orang awam.

Sehingga kini katanya, sektor pencarian laut meliputi 7 batu nautika persegi dan akan diperluaskan lagi bergantung kepada situasi semasa.

“Pencarian melalui darat juga dilakukan bersama-sama sepanjang Pantai Batu Layar. Operasi setakat ini belum menemui sebarang petunjuk dan aset-aset terlibat masih meneruskan usaha dalam mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.

“Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan dan cakna dengan perubahan cuaca serta keadaan semasa agar kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebarang kecemasan katanya, segera hubungi talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili menerusi talian 07-8916591. – MalaysiaGazette