KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Bestari, Klang Utara, Selangor hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Md. Gholap,32, seorang warga Bangladesh maut di lokasi terbabit.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari.
“Berdasarkan maklumat awal, kemalngan melibatkan sebuah lori dan kereta jenis Proton Persona yang sedang melakukan perkhidmatan e-hailing.
“Terdapat tiga mangsa termasuk dua warga Bangladesh. Seorang daripadanya tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dua lagi mangsa mengalami kecederaan di kepala serta tangan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuang Rahimah untuk menerima rawatan lanjut.
Terdahulu, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Roe berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dilanggar dari arah kiri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan seorang mangsa yang duduk di bahagian belakang kereta meninggal dunia dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette