Moderator, Haslina AR Kamaludin bersama Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim (dua kiri) dan Pengarah IKTBN Dusun Tua, Dalila Sharingat (kiri) pada Platform MG Edisi 3 bertajuk 'TVET, Adakah Malaysia Terlewat?' di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan terus dinggap sebagai pilihan kedua jika gaji lulusan itu tidak setanding dengan mereka yang mempunyai kelayakan akademik.

Pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad bagaimanapun berkata, kerajaan kini dilihat sedang melakukan usaha agar lulusan TVET mendapat gaji yang selayaknya.

“Saya lihat dalam beberapa minggu terakhir ini acap kali Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap mengenai soal bagaimana hendak meningkatkan pendapatan gaji lulusan TVET.

“Jadi saya yakin bahawa kerajaan sudah memahami bahawa untuk meningkatkan pandangan masyarakat mengenai TVET, meningkatkan kualiti lulusan, satu cara yang paling berkesan ialah bagaimana kita hendak meningkatkan pendapatan.

“Saya percaya untuk jangka masa panjang jika kita mempunyai kaedah penyeragaman dan pemantauan pembayaran, jenis dan protocol pekerjaan maka saya yakin pendapatan akan meningkat dan ramai lagi akan terlibat dalam TVET,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berucap pada Platform MG Edisi 3 bertajuk ‘TVET, Adakah Malaysia Terlewat?’ di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2024.

Menurut beliau, lulusan kemahiran di luar negara seperti tukang paip memperoleh pendapatan yang lumayan setanding dengan kepakaran yang dimiliki.

Beliau berkata demikian dalam program Platform MG terbitan Malaysia Gazette dengan kerjasama Datum Jelatek Shopping Centre selaku penaja lokasi dan Datumcorp International Sdn Bhd yang bertajuk TVET: Adakah Malaysia Terlewat.

Turut menjadi ahli panel adalah Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA Ts Ahmad Hamdi Ibrahim dan Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua Dalila Sharingat.

Pengarah IKTBN Dusun Tua, Dalila Sharingat (kiri) berucap pada Platform MG Edisi 3 bertajuk ‘TVET, Adakah Malaysia Terlewat?’, turut sama Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim (dua kiri) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2024.

Dalam pada itu, Anuar menegaskan, daripada segi masa Malaysia sedikit terlewat untuk melaksanakan program TVET namun berada di landasan yang betul.

“Kalau kita mengambil pengalaman dengan negara-negara lain seperti Jerman, Korea, Jepun dan negara maju memberi fokus kepada TVET ini sejak tahun 1980-an.

“Tetapi jika kita melihat daripada segi perkembangan semasa, melihat perubahan yang sedang berlaku dalam ilmu TVET, Malaysia berada dalam landasan betul dan tepat.

“Kita sedang melihat perkembangan yang semakin positif kepada ilmu TVET. Kita sedikit terlewat berbanding negara luar tapi dari segi perancangan yang ada kita berada di landasan yang betul,” tegas beliau.

Tambahnya, di negara maju graduan TVET merupakan harapan seperti di Amerika Syarikat yang mensasarkan 40 peratus sektor ekonomi pada 2040 bergantung kepada kumpulan itu melalui ekonomi GIG.

Kumpulan ini akan menubuhkan syarikat-syarikat pemula yang kemudiannya menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apa maksud ekonomi GIG? Inilah yang disebab oleh TVET. Seseorang yang mempunyai kemahiran tinggi, bekerja dengan industri dan berasa sudah mahir, buat syarikat, perusahaan sendiri.

“Bila semakin baik, dia mulakan syarikat pemula.Kalau kita lihat di AS, negara maju ini menjadi trend di mana orang sudah ada TVET, kemahiran memulakan syarikat.

“Menjadi harapan saya TVET dihujung itu ada pemula, modal, disediakan oleh kerajaan untuk menjadi seorang usahawan. Satu industri satu usahawan keluar dari TVET, sebab mereka ada kemahiran, tahu bagaimana mengurus dan menjadi usahawan yang mereka mahu,” katanya.

Anuar turut yakin program TVET dapat membantu dalam mengurangkan pengangguran pada masa depan. – MalaysiaGazette