KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menggesa agar parti dalam Kerajaan Perpaduan mengadakan perbincangan segera mengenai pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).
Setiausahanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, langkah itu perlu digerakkan sekarang bagi memberikan gambaran jelas mengenai pembahagian kerusi mulai sekarang.
“Perbincangan perlu dibuat sekarang agar parti tertentu dapat beri fokus dan pertimbangan tertentu.
“Calon perlu dikenalpasti lebih awal secara dalaman. UMNO dan BN bersama dengan komponen Perpaduan perlu beri pendedahan agar calon dapat fokus dan menyesuaikan diri dengan pengundi dan isu setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malah menurut Shaiful Hazizy, langkah itu juga bagi memberikan peluang kepada semua parti kerajaan untuk fokus dalam mengetengahkan calon masing-masing.
Ini kerana, gabungan itu perlu mengakui gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi ancaman besar kepada Perikatan Nasional (PN), lantas persediaan PRU16 memerlukan pendekatan luar biasa.
“Kesimpulannya, pakatan “Perpaduan” harus berani bekerja buat perubahan bagi memperkuatkan barisan baru. Saya yakin dan percaya kita kena terbuka dan berani mencuba sesuatu yang kontroversi dan luar kotak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy memberi contoh ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, UMNO negeri itu tidak diberikan satu kerusi pun di Palrimen Alor Setar.
Sehubungan itu, beliau berharap agar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan diberikan kerusi yang seimbang kepada PRU16 akan datang.
Semalam, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul menuntut kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu untuk ditandingi parti berkenaan pada PRU16.
Usul dikemukakan Wakil UMNO Cawangan Flat Tongkang Yard, Fisol Embi dan disokong Ketua UMNO Cawangan Tanjung Bendahara, Fazil Hashim sebelum diluluskan sebulat suara persidangan dihadiri 497 perwakilan itu.
Selain kerusi Parlimen Alor Setar, bahagian berkenaan menuntut satu kerusi DUN, sama ada Suka Menanti atau Alor Mengkudu.
Tuntutan kerusi Parlimen, kata Fisol, disebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15. – MalaysiaGazette