Musa.

BUKIT MERTAJAM – UMNO Pulau Pinang akan menghantar surat kepada kerajaan negeri untuk menggesa menghentikan penggunaan kadar tarif air baharu yang dilihat membebankan rakyat di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, gesaan itu diusulkan UMNO Bukit Mertajam dalam mesyuarat perwakilan bahagian agar kerajaan negeri membuat kajian terhadap impak serta kebajikan rakyat sebelum melaksanakan penggunaan kadar tarif air baharu.

Jelas beliau, meskipun kerajaan negeri memberikan subsidi atau rebat bagi kategori tertentu namun rakyat masih terkesan dengan kenaikan tarif baharu selepas ia mula dilaksanakan pada Februari lalu.

“Sikit atau banyak kenaikan itu tetap membebankan rakyat. Jadi kita minta hentikan dulu tarif baharu ini dan buat kajian untuk kebaikan atau kebajian rakyat negeri ini.

“Ini suara akar umbi yang perlu kerajaan beri perhatian dan UMNO Pulau Pinang akan menyusul dengan surat untuk membawa perkara ini kepada perhatian kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat perwakilan itu dirasmikan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow menegaskan kadar tarif air di Pulau Pinang merupakan kekal kedua terendah di negara ini selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kadar tarif baharu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kon Yeow berkata, kadar tarif baharu air yang diumumkan di beberapa negeri bertujuan menjana hasil yang boleh menampung projek infrastruktur.

Susulan itu, pada 6 Jun lalu, Kerajaan negeri meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberikan rebat dalam bentuk air percuma 10,000 liter pertama bagi setiap bil air selama enam bulan dan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.

SPAN mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah RM1.17 bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20. – MalaysiaGazette