Khairil Anuar Mohammad Anuar

KUALA LUMPUR – Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) meneruskan inisiatif Kempen PULIH yang mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Kempen Pemulihan Kewangan Pelanggan CBP (PULIH 2.0) menyasarkan pelanggan-pelanggan CBP yang menghadapi masalah pengurangan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan asal untuk mengambil peluang yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kempen yang memfokuskan kepada pelanggan pembiayaan peribadi ini bermula 1 Jun 2024 sehingga 31 Disember 2024.

Ia merupakan inisiatif yang dirangka oleh CBP sebagai tanda keprihatinan kepada para pelanggan serta langkah bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelanggan dengan hanya membayar separuh (50%) daripada ansuran asal pembiayaan selama tiga tahun (36 bulan) sekiranya permohonan diluluskan.

Antara kriteria pelanggan CBP yang layak untuk memohon Kempen PULIH 2.0 adalah bukan seorang yang muflis / bankrap, tidak berkemampuan untuk mengurus hutang, pendapatan terjejas, mesti mempunyai pendapatan bersih yang positif (bekerja/berhenti kerja dan mempunyai baki bersih positif) serta tidak memperolehi award tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) / penghakiman saman sivil.

“Kempen PULIH 2.0 yang diteruskan pada tahun ini ditambah baik dengan menurunkan peratus pengurangan pendapatan pelanggan daripada 25% pada tahun 2023 kepada 10% bagi tahun ini,ā€¯katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berharap dengan inisiatif yang dirangka ini dapat membantu serta meningkatkan kesedaran kepada para pelanggan dalam menguruskan kewangan. – MalaysiaGazette