JOHOR BAHRU – Kehilangan Albertine Leo Jia Hui, 6, di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, kelmarin bukan sahaja meraih simpati orang ramai tetapi juga menarik perhatian seorang pemilik kafe di bandar raya ini.

Pemilik kafe itu yang hanya mahu dikenali sebagai Phang menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menemukan kanak-kanak perempuan tersebut.

“Sesiapa yang berjaya bantu menemukan kanak-kanak itu boleh ke Six Cafe Borneo yang beralamat di Taman Stulang Laut untuk mengambil duit RM10,000,” tulisnya seperti yang tular dalam media sosial, hari ini.

Menurut Phang lagi, pihak yang menjumpai kanak-kanak tersebut juga boleh menghubunginya menerusi talian 011-36693611.

Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin di lokasi kejadian terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan tersebut sesak dengan kehadiran pengunjung.

Terbaharu tular kononnya orang awam mengesan kanak-kanak itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura.- MalaysiaGazette