Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang hilang meminta masyarakat tidak menyebarkan berita palsu dan maklumat tidak tepat kerana bimbang mengganggu siasatan polis.

ISKANDAR PUTERI – Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, di sini, kelmarin meminta masyarakat berhenti menyebarkan khabar angin berkaitan kehilangan anakanya itu.

Ibu mangsa, Leo Qieo Xin, 37, bimbang perbuatan tersebut akan mengganggu usaha siasatan dan pihak polis dalam mengesan anaknya.

“Terdapat banyak berita palsu dan tidak tepat berhubung kehilangan Albertine Leo Jia Hui, 6, yang tular dalam media sosial sejak kelmarin lagi.

“Dalam media sosial terlalu banyak maklumat dan dakwaan orang ramai yang nampak anak saya. Ini akan mengganggu tugas polis dalam usaha mengesan anak saya.

“Jadi saya minta semua pihak menghentikan sebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang, di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura.

Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asiaten Komisioner M Kumarasan berkata, kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan itu sesak dengan kehadiran pengunjung.

Dalam pada itu, Qieo Xin mengakui kini dia berada keadaan trauma dan bimbang kerana tidak tahu bagaimana keadaan anak perempuannya itu.

Dia berkata, perasaannya semakin berdebar apabila tidak mendapat maklum baharu daripada pihak polis berhubung usaha mengesan anaknya yang hilang itu.

Menurutnya, anak perempuan dan anak lelakinya telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan pada pagi tadi.

“Setakat ini, saya tidak ada sebarang maklumat terkini daripada pihak polis susulan siasatan yang dijalankan sejak malam Sabtu,” ujarnya.

Dia yang membuka gerai menjual air minuman di festival tersebut berkata, anak perempuannya itu hilang daripada pandangan ketika dia melayan pelanggan yang berkunjung ke gerainya. – MalaysiaGazette