KUALA LUMPUR – Isteri kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meninggal dunia petang tadi.
Allahyarhamah Datin Alena Omar menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 petang tadi.
Perkhabaran sedih itu dimaklumkan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Radzi Jidin.
“Salam takziah diucapkan kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan di atas kehilangan isteri yang tercinta petang ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada Datuk Seri Wan Saiful dan keluarga dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulis Radzi di Facebook beliau, hari ini.
Sebelum ini, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memaklumkan isterinya menghidap kanser usus tahap empat.
Menurut Wan Saiful dalam satu video pada 4 Jun lalu, keadaan isterinya ketika itu pada tahap kritikal kerana kanser telah merebak ke beberapa organ yang lain.
Katanya, isterinya sudah lama menghidap kanser dan telah menjalani rawatan kimoterapi sejak tahun 2020. – MalaysiaGazette