KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengemas kini garis panduan pengambilan guru sukarelawan Bahasa Inggeris daripada Singapura.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia melibatkan proses kemasukan guru yang akan melibatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara tersebut.
“Ini adalah hubungan diplomatik yang cukup baik untuk kedua-dua negara. Kita sedang memperkemas kini daripada segi garis panduan dan mekanisme menguruskan bagaimana proses kemasukan sukarelawan guru-guru Bahasa Inggeris ke Malaysia kerana ia bukan satu benda yang asing kita telah laksanakan sebelum ini dengan Amerika Syarikat dan negara lain untuk bahasa-bahasa lain,” katanya ketika ditemui di Majlis pelancaran koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sini hari ini.
Selain itu, Fadhlina menyifatkan cadangan tersebut sebagai potensi untuk meningkatkan lagi mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini.
“Kita mengalu-alukan dan menyambut baik cadangan Singapura dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Jadi saya tidak fikir ia sukar untuk kita laksanakan malah kita alu-alukan kerana kepentingannya itu bukan hanya diplomasi tetapi memberi kesan kepada neningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya lagi.
Sebagai rekod, ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura ke Malaysia baru-baru ini, kedua-dua negada berbincang mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar tenaga pengajar sukarelawan untuk mengajar Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat di seluruh negara.-MalaysiaGazette