Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melakukan siasatan lanjut berhubung isu program amal di sebuah sekolah ditaja syarikat arak.

Kementerian itu dalam kenyataannya hari ini menegaskan, pentadbir institusi Pendidikan KPM diingatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Ini termasuk larangan menerima sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“KPM memandang serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang mendapat sumbangan syarikat minuman keras, baru-baru ini.

“KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan untuk tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

“Namun ini perlu dilaksanakan berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018,” katanya.

Menurut KPM, sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

Pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.-MalaysiaGazette