Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.

Turut memohon DNAA ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah daripada tuduhan yang dihadapi bersama Najib ketika ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin selain menolak permohonan DNAA juga telah memberikan masa empat bulan kepada pendakwaan untuk menyerahkan dokumen lengkap kepada pembelaan.

Beliau juga menangguhkan prosiding perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini, kepada 14 November.

Peguam mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memohon anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan kerana mereka belum diserahkan dokumen yang lengkap untuk menyediakan kes pembelaan.

Ini merupakan antara kes paling lama yang perbicaraanya belum bermula sejak 2018 lagi.

Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada November 2018. -MalaysiaGazette