Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) pada Himpunan dan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah di Sandakan semalam menimbulkan tanda tanya.

Malah, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir meskipun sudah diuar-uar akan kehadirannya yang bakal menjadi sejarah baharu kepada BN Sabah.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung, beliau melihat ketiadaan pemimpin utama PH pada perhimpunan BN itu agak canggung dan ‘cacat’ ketika kedua-dua parti sering menonjolkan semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ia juga menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli kedua-dua parti serta rakyat Sabah keseluruhannya mengenai masa depan kerjasama antara BN dan PH pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan awal tahun depan.

“Pada saya, ketiadaan pemimpin utama PH pada program perdana BN Sabah semalam menunjukkan BN Sabah masih belum lagi memuktamadkan akan bekerjasama dengan parti mana pada PRN kelak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Kuok Tiung yang juga Pensyarah Kanan Sains Sosial USM berkata, ketiadaan kelibat Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada himpunan BN Sabah semalam turut mengundang teka-teki.

Jelas beliau, walaupun Abdul Rahman mungkin tidak dapat hadir atas sebab tidak dapat dielakkan, namun, ia sudah pasti menjadi modal politik kepada pihak-pihak tertentu melihat kepada situasi semasa politik Sabah hari ini.

Katanya, ia boleh memberi gambaran pergeseran dalaman UMNO Sabah masih belum selesai dan parti itu bakal berdepan cabaran politik berliku menjelang PRN Sabah akan datang.

Sebelum ini, Abdul Rahman dikritik beberapa pemimpin UMNO Sabah selepas menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran.

Hajiji pernah cuba ditumbangkan menerusi `Langkah Kinabalu’ yang didakwa ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan BN.

Namun cubaan menukar Ketua Menteri itu gagal selepas sebahagian daripada ADUN UMNO dan PH tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Dalam pada itu, Kuok Tiung menambah, banyak pihak ketika ini menantikan reaksi pemimpin BN dan PH berkenaan hala tuju mereka pada PRN Sabah akan datang.

“Dengan tempoh PRN Sabah yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi, kerjasama ini sepatutnya sudah diputuskan sekiranya BN Sabah masih mahu menjadi parti dominan dan relevan di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast