Roha menunjukkan mesej terakhir yang dihantar Haqim kepadanya memaklumkan sedang barbeku di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, Kota Tinggi sebelum kejadian lemas.

KOTA TINGGI – Haqim Abdul Rahim Lee, 20, yang ditemukan lemas di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, di sini ketika mandi bersama-sama rakannya semalam merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan rakan sekolahnya hujung tahun ini.

Ibunya, Roha Robat, 52, berkata, Haqim yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik menyatakan hasrat untuk menikah dengan Nor Alia Shafikah Abas, 20.

“Haqim ada menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujang pada penghujung tahun ini, namun masih perancangan. Hasrat itu setakat cakap-cakap sajalah. Persiapan apa pun masih tak buat lagi.

“Tetapi tidak sangka, hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Semalam, portal ini melaporkan Haqim dan rakannya Muhammad Syahmie Zamzam, 26 lemas ketika mandi dan berkelah di pantai berkenaan pada pukul 9.38 pagi.

Sebelum itu orang ramai melihat mereka mandi sebelum terkapai-kapai dipukul ombak dan kemudian tenggelam hilang daripada pandangan.

Mayat pertama, Muhammad Syahmie ditemui pada pukul 3.19 petang semalam 100 meter dari pantai tersebut manakala mayat Haqim ditemukan di celah batu pukul 7.45 pagi tadi pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir dia lemas.

Difahamkan Haqim merupakan seorang pekerja kedai jual peralatan sukan.

Bercerita lanjut, Roha berkata, anaknya itu juga tidak ada menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum pergi ke Pantai Batu Layar.

Nor Alia Shafiqah

Malah katanya, dia sempat berkomunikasi dengan anaknya melalui Whatsapp mengadu jarinya terluka terkena pisau.

Namun dia tidak menyangka itu merupakan perbualan terakhir dengan arwah anaknya itu sebelum lemas ketika mandi laut.

“Sebenarnya, dia jarang ke laut sebabnya tak pandai berenang. Tapi hari tu dia nampak seronok dan saya sempat berpesan kepadanya supaya jangan mandi laut.
Dia kata, dia tak mandi laut cuma nak ‘bakor-bakor’ (barbeku) di pantai,” katanya.

Sementara itu, Nor Alia Shafikah berkata, mereka sudah saling mengenali satu sama lain sejak enam tahun lalu ketika sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa Jaya.

Dia mengakui mereka memang merancang untuk bernikah pada penghujung tahun nanti.

“Saya dan dia kawan dah lama…dah enam tahun, kita juga rancang tapi dari mulut ke mulut sahaja untuk ke langkah seterusnya dan dijangka dalam hujung tahun inilah.

“Tapi tak sampai, ajal dia sampai dulu, jadi nak tak nak, saya kena reda. Whatsapp terakhir pada pukul 6.57 pagi semalam, dia hantar gambar matahari terbit. Itulah kali terakhir dan selepas itu saya dah tak dapat hubungi dia,” katanya.

Jenazah Haqim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, Johor Bahru hari ini.- MalaysiaGazette