Antara motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Skudai-Pantai Lido, Bandar Raya Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Seorang remaja yang masih bersekolah antara empat yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Skudai-Pantai Lido di bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, remaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah itu menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan mendapati motosikal tersebut yang ditunggang remaja berkenaan bukan motosikal curi.

“Bagi kes tangkapan ini, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(3)(f) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 30 tahun yang didapati melakukan aksi berbahaya di jalan awam sehingga mendatangkan bahaya dan mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Mengenai operasi tersebut, Raub memberitahu, sebanyak 22 motosikal disita dan 78 saman dikeluarkan.

Menurutnya, operasi yang bermula pukul 5 petang dan berakhir 11 malam itu menyaksikan 55 individu dan 51 kenderaan diperiksa.

“Sebanyak 78 saman Pol.257 itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu,
ubah suai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

Pada masa sama, Raub menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti lumba haram yang tidak memberikan sebarang faedah, malah membahayakan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette