Penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksan ke atas seorang peniaga hari ini selepas menerima aduan pengguna.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 192 kilogram gula bertapis kasar dan 34 kilogram minyak masak polibeg sekilogram yang disorok oleh seorang peniaga kedai runcit.

Rampasan itu dibuat pagi tadi selepas KPDN menerima aduan bahawa pembeli sukar mendapatkan barangan kawalan itu.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan lebih kurang 10 pagi dengan melakukan penyamaran untuk membeli minyak masak polibeg dan gula bertapis kasar sekilogram setiap satu.

“Namun pekerja premis tersebut memaklumkan barang kawalan tersebut telah kehabisan stok. Pemeriksaan lanjut telah dibuat menemui sebanyak 192 kilogram gula bertapis kasar dan 34 kilogram minyak masak polibeg sekilogram ada disimpan di dalam premis.

“Susulan itu tindakan sitaan telah dibuat ke atas gula dan minyak masak berkenaan berserta beberapa dokumen perniagaan seperti buku stok dan penyata jualan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Jumlah nilai rampasan bagi barang kawalan berkenaan tersebut sebanyak RM632.20.

Jezlily berkata, kertas siasatan dibuka untuk siasatan di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan bekalan 1961 kerana enggan menjual barang kawalan iaitu gula bertapis kasar dan minyak masak polibeg sekilogram bersubsidi.

Dalam pada itu, KPDN Pahang memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.

Bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000 dan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast