KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setuju untuk menyalurkan dana awal berjumlah RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara bagi membantu pelajar bumiputera miskin di institusi itu
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persetujuan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini.
“Cadangan Tabung Wakaf Mara telah saya angkat dan kemukakan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera sebentar tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tabung Wakaf Mara ini penting untuk dimanfaatkan bagi membantu pelajar-pelajar Mara dalam kalangan bumiputera yang susah dan dari keluarga berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani setelah Mara mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai Mutawalli,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, Tabung Wakaf Mara akan memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar Bumiputera dalam ekosistem institusi pendidikan Mara.
Secara umum menurut beliau, lebih 70 peratus pelajar adalah dari kalangan keluarga B40, M40, miskin dan berpendapatan rendah.
Dapatan itu dibuat sepanjang beliau menerajui Mara tidak sampai dua tahun dan selepas meninjau sendiri keadaan di Maktab Rendah Sains Mara, GiatMARA, kolej-kolej MARA, UniKL, Universiti Poly-Tech Malaysia, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Kolej Poly-Tech Mara.
“Saya juga banyak menerima maklum balas bagaimana kesukaran sebahagian besar mereka untuk mengeluarkan perbelanjaan awal untuk masuk ke Institut Pendidikan Mara, bahkan ramai yang ikat perut sepanjang pengajian.
“Sebab itulah saya cadangkan Tabung Wakaf Mara yang boleh diikhtiarkan untuk mengumpulkan dana wakaf (sedekah jariah) yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan membantu pelajar-pelajar yang susah.
“Ia juga mampu membuka peluang untuk alumni dan bekas-bekas pelajar dalam ekosistem Mara yang telah berjaya dan mahu kembali menyumbang kepada Tabung Wakaf Mara untuk manfaat orang lain pula,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook awal hari ini, Asyraf Wajdi berkongsi berkenaan kisah seorang pelajar bernama Aiman yang terpaksa mengambil upah membasuh baju rakan-rakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga.
Tambahnya, apa yang dilalui Aiman itu membuatkan beliau benar-benar bertekad untuk menyegerakan pelaksanaan Tabung Wakaf Mara untuk membantu pelajar tidak berkemampuan.
Baru-baru ini, Asyraf teah singgah ke rumah Aiman di Kubang Pasu selepas remaja ini berkira-kira untuk tidak menerima tawaran Universiti Warwick di UK di bawah tajaan Mara.
Dalam lawatan mengejut itu, Asyarf dimaklumkan bahawa bapa Aiman tidak bekerja kerana sakit buah pinggang kronik dan hampir buta sepenuhnya.
Ibu Aiman juga tidak bekerja, hanya bergantung kepada pencen ilat Perkeso sebanyak RM800 dan sumbangan zakat untuk menyara tiga anak yang masih belajar.