Anjing Unit K9 polis turut digunakan untuk mengesan Jia Hui yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri hari ini

JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang meningkatkan usaha mengesan kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, semua pihak diminta memberi ruang kepada polis untuk mencari Albertine Leo Jia Hui yang berusia enam tahun.

“Pihak polis sedang mempergiatkan usaha mengesan mangsa. Berikan ruang untuk polis menjalankan siasatan.

“Sekiranya ada perkembangan yang sewajarnya perlu dikongsi, maka akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan ringkas, di sini, hari ini.

Kumar bagaimanapun enggan mengulas dakwaan ada yang mendakwa melihat kanak-kanak perempuan tersebut berada di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian terbabit.

Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di BSI bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati, Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan polis dalam usaha mengesan kanak-kanak perempuan terbabit.

Beberapa anggota polis dilihat sedang melakukan pemeriksaan di persekitaran lokasi penganjuran acara Bon Odori itu dengan dibantu seekor anjing.

Usaha anggota polis tersebut turut disaksikan beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa Jia Hui. – MalaysiaGazette