Siew Fook (tengah) selepas merasmikan Karnival Keretapi Go Go Go di Jalan Awang, Segamat, malam tadi

SEGAMAT – Kemajuan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Segamat di sini kini sudah mencapai 95 peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, khidmat ETS berkenaan boleh digunakan sepenuhnya pada awal Oktober ini.

“Perkembangan ini akan membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Segamat.

“Kita perlu sedikit masa, lagi. Namun pada masa sama, kita perlu lakukan ujian ETS dan sebagainya dahulu.

“Jadi saya rasa yang penting, projek ini berjalan lancar dan kita pastikan dalam secepat mungkin ia dapat menyediakan perkhidmatan ETS kepada masyarakat hingga ke Segamat, dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Karnival Keretapi Go Go Go di Jalan Awang, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Ng Kor Sim.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan, bergerak selaju 140 kilometer sejam dan anggaran masa perjalanan dari Kuala Lumpur Sentral ke JB Sentral adalah tiga jam 30 minit.

Sementara dari stesen Segamat ke JB Sentral mengambil masa satu jam 30 minit.

Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, ketika ini perkhidmatan ETS hanya ada di laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur hingga ke Gemas.

Pihaknya, kata beliau, yakin laluan ke Segamat nanti akan mendapat sambutan menggalakkan apabila beroperasi nanti.

“Untuk selatan pula, ia kini hanya perlu diperlengkapkan. Saya harap sedikit masa lagi dapat melengkapkan maka perkhidmatan itu boleh diakses sepenuhnya pada tahun 2025,” ujar beliau.

Menurut beliau, pihaknya juga merancang untuk menambah jumlah gerabak ETS di laluan berkenaan namun bergantung dengan permintaan.

“Sudah pasti (beberapa gerabak ETS) kita melihat itu mencukupi buat permulaan dan saya melihat potensi membawa penumpang ini adalah mod pengangkutan kini yang popular.

“Kita ada pelbagai perancangan antaranya berkait rapat sektor pelancongan termasuk di Segamat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast