Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merekodkan nilai projek pembinaan yang dianugerahkan dari Januari sehingga Jun tahun ini bernilai RM88.92 billion melibatkan 7,004 projek pembinaan.

Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, daripada jumlah itu RM66 bilion atau 4,669 projek melibatkan swasta manakala RM22.4 bilion atau 2,335 projek membabitkan kerajaan.

Tambah beliau, nilai yang direkodkan merupakan lonjakan hampir 100 peratus berbanding dalam tempoh yang sama tahun 2023 iaitu RM47.8 billion melibatkan 5,103 projek.

“Peningkatan yang memberangsangkan ke atas nilai projek yang diaward ini cerminan kepada penanda aras positif terhadap prospek pertumbuhan negara sejak industri pembinaan mengalami penurunan dan pelbagai cabaran semasa tempoh pandemik dan pasca pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Nilai projek tertinggi mengikut kategori adalah projek bukan kediaman iaitu RM65.9 bilion (5,633 projek) diikuti projek infrastruktur RM13.8 bilion (814 projek), projek kediaman RM8.22 bilion (419 projek) dan projek kemudahan sosial RM1 bilion (138 projek).

Selangor mencatatkan jumlah projek tertinggi mengikut negeri dengan RM32 bilion (1442 projek), Johor RM25.1 bilion (996 projek), Kuala Lumpur RM21.9 bilion (836 projek), Pulau Pinang RM15.7 bilion (439 projek) dan Sarawak RM13.7 bilion (459 projek).

Projek terbesar yang telah dianugerahkan termasuk pembinaan Lebuhraya SarawakSabah Link Road (SSLR), pembangunan pusat data (data centres) dan pembinaan kilang semikonduktor.

Menurutnya, aktiviti industri pembinaan tahun ini dijangka terus rancak dengan peningkatan permintaan ke atas pembinaan pusat data; 15 pakej Pan Borneo dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Sedenak ke Simpang Renggam (daripada empat kepada enam lorong).

Turut dalam rancangan membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba; membaik pulih jalan berlubang di Jalan Persekutuan yang telah dikenal pasti; pembaikan cerun dan pembinaan dan penyelenggaraan sekolah.

Prospek sektor pembinaan juga dijangka akan lebih memberangsangkan dipacu oleh projek KL-Singapore High Speed Rail (HSR) yang akan dikaji semula serta pewujudan Zon Ekonomi Johor-Singapura.

Berdasarkan maklumat, unjuran jumlah Surat Setuju Terima (SST) yang disasarkan dikeluarkan bagi tempoh Julai hingga Disember 2024 adalah 15 dari KKR bernilai RM2.55 bilion dan 196 dari kementerian lain bernilai RM6.340 bilion.

Manakala dari Januari hingga Jun 2025 pula sasaran SST adalah 16 dari KKR bernilai RM1.558 bilion dan 201 dari kementerian lain bernilai RM5.085 bilion.

“Peningkatan nilai serta jumlah projek pembinaan ini adalah satu petanda positif kepada kekukuhan ekonomi negara, pertambahan peluang pekerjaan, kemudahan awam yang lebih baik dan selesa,

“Serta kerancakan perniagaan industri mikro, kecil dan sederhana (IMKS) kerana projek-projek pembinaan mempunyai hubungan rantaian nilai secara langsung dengan banyak sektor industri lain, dimana 90 peritus daripadanya melibatkan syarikat perniagaan IMKS,” katanya.-MalaysiaGaztte