KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi simpati terhadap Tan Sri Annuar Musa kerana tidak dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Mohd. Puad mendakwa, kenyataan yang dibuat oleh Annuar bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mempertaruhkan calon ‘lebih matang’ seolah-olah membayangkan pakej itu ada pada dirinya sendiri.
“Simpati juga kerana Annuar bukan calon PRK Nenggiri. Nenggiri kerusi Bersatu. Annuar ahli Pas. Parlimen Gua Musang tidak kosong pula.
“Annuar bayangkan calon di Nenggiri ada style, berpengalaman, matang dan baik segalanya. Mungkin mesej Annuar ialah pakej itu ada padanya. Tetapi Annuar bukan calon,” kata Mohd. Puad.
Dalam perkongsian di media sosial, Mohd. Puad berkata, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh kini perlu menunggu tempoh yang lama untuk diletakkan sebagai calon bagi pilihan raya umum (PRU)
“Semasa (Datuk Seri) Ismail Sabri jadi Perdana Menteri dia tolak usul PAU UMNO cepatkan PRU. Sekarang dia mesti mahu PRU cepat.
“Kesian Annuar kena tunggu empat tahun lagi. Lama sangat. Rugi lompat parti diumur senja kerana tidak ada istilah taubat politik kecuali taubat nasuha,” tambahnya.
Annuar dilaporkan berkata, PN yakin calon dipertaruh gabungan itu untuk mempertahankan DUN Nenggiri ‘lebih matang’ berbanding wakil Barisan Nasional (BN).
Beliau yang bertindak sebagai pengarah operasi PRK Nenggiri berkata, calon itu juga individu aktif dalam parti dan mempunyai pengalaman politik.
“Calon memang mustahak, tapi yang berlawan ini bukan berlawan body, ini perlawanan perjuangan besar.
Pertama, calon kita tentu jauh lebih style, lebih baik, lebih bagus, lebih segalanya daripada calon yang mereka (BN) umumkan itu, calon kita dijamin lebih matang daripada calon (BN), katanya pada ceramah di Limau Kasturi, Gua Musang.
Beliau berkata, pengumuman rasmi calon akan dibuat pucuk pimpinan kelak.- MalaysiaGazette