Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman atas tuduhan merogol remaja perempuan yang berumur 16 tahun hingga hamil di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA KANGSAR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian rogol melibatkan seorang remaja perempuan di Lenggong pada April lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari selepas meluluskan permohonan dikemukakan polis untuk menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Suspek terbabit tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar sekitar jam 9 pagi berpakaian baju T berwarna kuning dan berseluar celoreng.

Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat mangsa berusia 17 tahun apabila mendapati dirinya mengandung tujuh bulan selepas melakukan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Lenggong.

Susulan laporan itu, remaja lelaki yang dipercayai kenalan mangsa ditahan polis di rumahnya di Lenggong pada jam 9 malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan remaja lelaki berkenaan dan polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazette