Anggota polis membawa keluar suspek selepas dilanjut reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berikutan kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah ketika di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JULAI 2024.

KUALA KUBU BHARU – Seorang anggota polis yang dikaitkan dengan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah disambung reman selama tujuh hari mulai 23 hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 16 Julai lalu, suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada 15 Julai lalu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditangkap di Balai Polis Gedangsa, Hulu Selangor pada 15 Julai lalu.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis dan digari tiba dengan diiringi anggota polis CID di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira  9 pagi tadi.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan suspek dipercayai teman lelaki mangsa ditahan susulan penemuan mayat di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pukul 6 petang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan individu yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak.

Nur Farah Kartini, seorang pekerja syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan pada 10 Julai lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Mohd Hasni Mohd Nasir memaklumkan, laporan kehilangan Nur Farah Kartini dibuat rakan serumahnya pada 1.56 pagi pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slek hitam. – MalaysiaGazette