Kerajaan Perpaduan
Tony Pua mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan BN sebagai 'pakatan korup'.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membuat pendirian ‘mengejutkan’ apabila turut bersetuju Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan bekas Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki negara.

‘Penghargaan’ kepada Najib itu dibuat bekas Setiausaha Publisiti DAP berkenaan menerusi hantaran ringkas di laman sosial Facebook beliau hari ini.

He was certainly the BEST. Top of the class. (Dia sememangnya yang TERBAIK. Teratas dalam kelasnya),” katanya.

Menerusi hantaran sama, Tony Pua turut berkongsi tangkap layar laporan portal berita berkenaan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan Najib sebagai antara Perdana Menteri Terbaik Malaysia.

Pandangan Tony Pua terhadap Najib itu dilihat `’uar biasa’ memandangkan beliau sebelum ini diketahui merupakan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lantang bersuara berkenaan isu salah laku ketika era pentadbiran Najib.

Beliau juga pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan merupakan antara individu penting yang mengusulkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas pemulangan aset untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International pada 2020.

Malah, beliau dalam nada sinis menerusi laman sosial Facebook sebelum ini pernah seolah-olah menyindir keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pembebasan Najib.

Semalam, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Bahagian UMNO Pekan, Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor meluah rasa terkilan dengan nasib yang dialami Najib ketika ini yang disifatkan beliau sangat menyedihkan.

Sehubungan itu, Onn Hafiz turut melahirkan harapan supaya pimpinan UMNO terus memperjuangkan apa disebutnya sebagai keadilan terhadap Najib.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette