SEPANG – Para pelajar Malaysia yang selamat tiba di Dhaka Bangladesh memberitahu masih terdapat beberapa penuntut Fakulti Perubatan Kolej Mymensingh yang enggan pulang ke tanah air.
Seorang pelajar, Iman Nur Aina Amirah Abdul Rahman, 25, berkata, terdapat kira-kira 11 pelajar yang mahu kekal di sana walaupun ketegangan masih berlaku di Bangladesh.
Menurutnya, kesemua mereka terbabit adalah pelajar akhir fakulti perubatan yang bakal menduduki peperiksaan bulan depan.
“Mereka tak nak balik sebab memikirkan peperiksaan akhir tahun walaupun kerajaan ada nasihat supaya mereka pulang dulu kerana rakyat Malaysia perlu pulang,” katanya ketika ditemui media selepas selamat tiba KLIA Terminal 2 di sini, petang ini.
Iman Nur Aina Amirah antara 123 rakyat Malaysia yang dibawa pulang hari ini dengan penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.
Dalam pada itu, Fatihah Fadhli, 25, berkata, berbanding di Dhaka, keadaan di kolej mereka jauh lebih terkawal daripada penunjuk perasaan.
“Kami nampak kemusnahan yang berlaku di sepanjang jalan di Dhaka ketika kami dalam perjalanan ke lapangan terbang.
“Kami nampak kereta dibakar,” katanya sambil memberitahu perjalanan ke Dhaka dari kolejnya mengambil masa empat jam.
Menurutnya, sepanjang keadaan tegang di Bangladesh, pelajar Malaysia telah dinasihatkan tidak keluar rumah dan jangan menyertai tunjuk perasaan yang berlangsung.
Berkongsi keadaan di sana, Nurfariesha Najwa Abdul Halim, 22, berkata, pihak kolej sudah diberitahu awal untuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan peribadi.
Namun, ketika memasuki hari kedua protes, semua pelajar Malaysia di sana menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan wang tunai daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) yang tidak beroperasi.
Akibatnya kebanyakan mereka tidak mempunyai wang yang cukup.
“Kami sudah buat persiapan awal, jadi makanan sudah ada cumanya internet sahaja yang tidak ada dan duit tidak cukup.
“Kami tidak boleh keluarkan duit kerana mesin ATM kehabisan duit, ada mesin yang tidak ada langsung (duit),” katanya lagi.
Kesemua 123 termasuk 80 pelajar Malaysia selamat mendarat jam 4.56 petang.
Mereka disambut Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. – MalaysiaGazette