Seramai 123 rakyat Malaysia di Bangladesh selamat tiba di klia jam 4.56 petang tadi. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2024.

SEPANG –  Seramai 123 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Dhaka, Bangladesh selamat tiba di klia2 pada jam 4.56 petang tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan menzahirkan rasa syukur kerana operasi berkenaan berjalan lancar  tanpa sebarang kecederaan. 

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Bangladesh dan semua agensi berkaitan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan.

“Operasi ini berjalan lancar dengan kerjasama hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) agensi dan semua pihak terlibat. Buktinya mereka (rakyat Malaysia) selamat sampai dengan elok,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Reaksi salah seorang rakyat Malaysia ketika bertemu keluarga di klia2. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2024.

Operasi membawa pulang 123 rakyat Malaysia itu dijayakan dengan kerjasama Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Kesemua mereka termasuk 80 pelajar dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ketegangan di negara tersebut.

Mereka tiba dibawa menaiki pesawat AirAsia AK0076 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka, Bangladesh pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast