Seramai 37 pelajar cemerlang SMK Sultan Ismail diraikan atas kejayaan mereka selepas pengumuman keputusan STPM 2023 di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 171 atau 4.32 peratus daripada 3,977 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di negeri ini memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan 11 calon berbanding seramai 160 calon yang mendapat keputusan sama, tahun lalu.

“Secara keseluruhan, PNGK STPM 2023 yang dicapai negeri ini adalah 2.98, mengatasi PNGK STPM 2023 peringkat kebangsaan iaitu 2.84.

“Bilangan calon yang mendapat keputusan 5A dalam kelima-lima mata pelajaran diambil adalah seramai 10 calon, meningkat sebanyak 50 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

“Selain itu, seramai 152 calon berjaya mendapat keputusan 4A dalam empat mata pelajaran yang diambil, bertambah seorang berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan STPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mohd Hanafi berkata, seramai tiga calon STPM 2023 negeri ini turut mendapati anugerah daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi Kategori Pelajar Terbaik STPM 2023 Peringkat Kebangsaan.

“Diana Shereen Ellysa Miswan bagi Aliran Sains Sosial di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman, Batu Pahat; Muhammad Hadiz Norazlin di SMK Tinggi Muar bagi Aliran Sains dan P Paarmitha dari SMK Pasir Gudang 2 yang merupakan Calon Terbaik Sejarah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 2 peratus daripada segi prestasi Lulus Penuh berbanding prestasi dicapai tahun lalu.

“Empat mata pelajaran itu adalah Matematik Moden dengan peningkatan 30.9 peratus; Matematik Tambahan (6.25 peratus); Tahfiz Al-Quran (2.56 peratus) dan Biologi (2.37 peratus).

“Sementara enam mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasi kerana beza peratusan calon Lulus Penuh antara tahun 2023 dan 2022 adalah kurang daripada 2 peratus,” jelasnya. – MalaysiaGazette