Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

PETALING JAYA – Tiga individu yang disyaki ahli sindiket curi kenderaan ditahan polis di Subang Jaya, Selangor tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika tangkatan dilakukan, mereka berada di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Fortuner yang diletakkan di hadapan sebuah hotel di USJ Sentral 1 yang cuba dicurinya.

“Pemeriksaan lanjut yang telah dijalankan ke atas suspek-suspek itu berjaya membawa polis kepada rampasan pelbagai peralatan dan juga aksesori barangan elektronik yang disyaki digunakan geng itu untuk mencuri kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 79 rekod jenayah dan 12 rekod dadah, suspek kedua mempunyai 18 rekod jenayah dan dua rekod dadah manakala suspek ketiga mempunyai 69 rekod jenayah dan enam rekod dadah.

Tambah beliau, saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang berusia antara 33 hingga 45 tahun itu positif dadah jenis methaphetamine.

“Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga 25 Julai depan bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut,” ujarnya.

Wan Azlan berkata, polis percaya kumpulan penjenayah itu aktif mencuri kenderaan khusus kenderaan pacuan empat roda di sekitar Subang Jaya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (akta 574).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03- 78627100 atau Pegawai Penyiasat, Insp Mohammad Faiz Naufal Zakaria  di talian 019-4858907. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast