Petugas-petugas kesihatan sedang memberikan rawatan kepada murid-murid SK Pulau Gaya.- Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR- Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan 91 murid sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah mengalami keracunan makanan.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, murid terbabit diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik seperti Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas; Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.

Menurut beliau, insiden itu mula dikesan pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

Serentak itu, pihak sekolah turut memberhentikan serta-merta pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi sesi petang.

“Pihak sekolah melalui guru-guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.

“Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan di sekolah itu,”katanya.

Menurut Raisin, selain mengambil tindakan pantas membawa murid terbabit mendapatkan rawatan, pihak sekolah turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing ke klinik dengan segera sekiranya terdapat simptom keracunan makanan.

Katanya, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS.

Selain itu seramai 25 murid dirawat di HQE; Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.

“Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini.

“Semalam pihak PPDKK telah mengarahkan supaya perkhidmatan kantin dan RMT diberhentikan serta merta demi keselamatan murid buat sementara waktu,” katanya.

Setakat ini, katanya punca keracunan makanan masih disiasat dan belum dapat diputuskan sama ada berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT.

Terdahulu, tular beberapa klip video di media sosial menunjukkan murid-murid sekolah berkenaan yang mengalami simptom keracunan makanan sedang diberi rawatan segera para petugas kesihatan.- MalaysiaGazette