Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Air Selangor memaklumkan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.

Syarikat itu dalam kenyataan di Facebooknya hari ini berkata, empat LRA terlibat adalah LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, dan LRA Sungai Selangor Fasa 3.

Susulan itu, tujuh wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, perkembangan berkaitan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Senarai penuh kawasan yang mengalami gangguan bekalan air boleh didapati di media sosial Air Selangor termasuk Facebook, Instagram dan X.- MalaysiaGazette