DUNIA tidak terlalu terkejut pengumuman mengundur diri daripada pemilihan Presiden Amerika oleh Joe Biden.
Masyarakat hanya mengikuti perkembangan politik Amerika kerana cita-cita Amerika mahu terus menjadi negara polis dunia nombor satu.
Selebihnya dunia tahu Amerika adalah negara demokrasi paling hipokrit di dunia.
Pengunduran Biden dan percubaan asasinasi Trump tidak mengubah sedikit pun dasar yang menyentuh soal menyokong israel.
Baik calon parti Demokrat mahupun Republikan, siapa yang dipilih sebagai presiden tetap dipengaruh kuat oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) yang akan menentukan dasar Amerika menyokong Israel dengan polisi ironclad (cengkaman besi) akan kekal.
Dalam perdebatan di Amerika yang sangat panas sekarang, isu menyokong israel tetap akan menjadi dasar yang berkekalan sama ada dalam bentuk bantuan pertahanan tetap lebih USD 3 bilion setahun mahupun melindungi Israel daripada setiap ketetapan di sidang PBB dan keputusan undang-undang oleh mahkamah PBB iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tidak pernah ada resolusi yang tidak menyebelahi israel yang disokong oleh Amerika.
Amerika mengguna kuasa veto sepenuhnya untuk memberi sokongan kepada Israel hatta terhadap semua jenayah perang ke atas kemanusiaan, sistem aparteid dan genosid oleh Israel.
Israel mendapat status tidak akan dihukum (impunity) terhadap apa sahaja jenayah yang dilakukannya secara terang-terangan di mata dunia.
Dasar hipokrit inilah yang menjadi dasar Amerika tidak berubah oleh mana-mana presiden yang dipilih.
Pada 6 Disember 2017, Donald Trump telah mengisytiharkan Jeruselem (Baitul Maqdis) sebagai ibu negara Israel.
Sementara Joe Biden meluluskan berbilion dolar bantuan ketenteraan kepada Israel untuk memusnahkan Gaza pada Oktober 2023 hingga sekarang.
Kamala Harris yang dipilih oleh Biden untuk menentang Trump juga tidak akan mengubah dasar Amerika terhadap Israel.
Hanya Harris, ibu berasal India dan bapa berasal Jamaica, satu-satunya pemimpin tertinggi Amerika yang mengeluarkan kata-kata genjatan senjata ke atas Israel dalam isu genosid di Gaza.
Namun, Harris tetap mengisytiharkan sokongan kepada Israel seratus peratus.
Pada hakikatnya, banyak krisis yang kini melanda Amerika. Daripada soal matawang dolar akan berdepan dengan Brics mahupun inflasi serta kedudukan pertumbuhan ekonomi yang lembab.
Ekonomi AS dijangka hilang momentum bila tren permintaan domestik menurun akibat kos dan kadar faedah juga meningkat. KDNK menunjukkan aliran menurun secara dramatik kepada 1.4 persen pada suku pertama 2024.
Apatah lagi wang Amerika mengalir besar untuk membiaya perang di Gaza dan Ukraine.
Bebanan Presiden Amerika untuk menanggung pemulihan ekonomi dan kewangan negara amat berat.
Agenda Amerika untuk meneruskan penguasaan militari dan perdagangan dunia tidak nampak mampu bertahan.
Bebanan ke atas kewangan Amerika amat besar. Pada 2023, perbelanjaan militari Amerika adalah 37 peratus (USD 916 bilion) daripada jumlah perbelanjaan militari seluruh dunia.
Dalam konteks ini, siapa sahaja yang dipilih menjadi Presiden Amerika bakal berdepan isu ekonomi yang sangat berat.
Sudah sampai masanya masyarakat dunia memberi pengaruh kepada politik Amerika dan bukan sebaliknya.
Dengan ujudnya Brics, Amerika bakal terpencil. Sebarang polisi luarnya tidak boleh lagi menjuruskan kepada berfokus kepada israel.
Israel adalah projek Amerika untuk menguasai hegemoni geo politik Asia Barat. Tanda Israel sendiri tidak lagi boleh berharap sepenuhnya kepada Amerika menunjukkan Amerika harus mengalih perhatian.
Amerika kini terperangkap dalam percaturannya untuk bersaing dengan kuasa besar yang lain iaitu Russia dan China. Sementara itu, Iran tetap terus menjadi cabaran besar buat Amerika.
Untuk berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat antarabangsa, Amerika akan bertambah bebannya untuk mengatur ekonomi dalamannya sendiri. – MalaysiaGazette
PRESIDEN MAPIM, MOHD AZMI ABDUL HAMID