GEORGE TOWN – Empat nelayan warga Thailand ditahan selepas didapati menceroboh zon penangkapan ikan di kedudukan 6.0 batu nautika barat Teluk Kampi, dekat sini, hari ini.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, penahanan itu dilakukan pada jam 5 pagi selepas pihaknya mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan rutin.
“Ketika menghampiri bot itu, didapati mereka melakukan aktiviti perikanan di bawah 15.0 batu nautika iaitu menangkap ikan dengan tidak mengikut syarat sah lesen kelas C.
“Susulan itu, kita menahan empat kru warga Thailand yang berusia antara 42 hingga 64 tahun bersama bot nelayan tempatan yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Razali, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen yang mana mereka menangkap ikan di bawah 15.0 batu nautika.
“Kesemua kru, bot bersama hasil tangkapan yang dianggarkan berjumlah 150 kilogram (kg) ikan baja diserah kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,”katanya. – MalaysiaGazette