Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik dan merasmikan Pusat Fisioterapi Dan Rehabilitasi Sukan ProPain di Emira Residence & Urban Retail, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menawarkan bidang fisioterapi kepada pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peluang kerjaya yang cerah untuk jangka masa panjang di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tenaga mahir dalam penjagaan kesihatan dan rehabilitasi di negara ini masih kurang.

“Negara kita memerlukan ahli fisioterapi yang ramai, ini adalah bidang yang boleh diceburi tanpa sistem akademik biasa.

“Ia bagi memenuhi keperluan kepada kadar kependudukan.

“Di negara-negara maju, terdapat kadar seorang ahli fisioterapi bagi setiap 2,000 penduduk.

“Tapi di negara kita, seorang ahli fisioterapi kepada 7,400 penduduk,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jurusioterapi Propain, Aqida melakukan mesin Terapi Tembakan Laser untuk mempercepatkan pemulihan sel-sel tisu otot yang telah rosak di Pusat Propain Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

Terdahulu beliau merasmikan Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan Propain Shah Alam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, peluang kerjaya bagi bidang fisioterapi itu masih cerah walaupun tidak cemerlang dalam SPM.

“Saya menyarankan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) memberi kemahiran dalam bidang fisioterapi.

“Ketika ini bidang fisioterapi memerlukan kelulusan diploma dan ijazah.

“Ada di antara pusat TVET yang boleh memberikan latihan asas kepada SKM1 dan SKM 2 dalam bidang fisioterapi ini,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan pelajar lepasan SPM yang kurang cemerlang boleh memperoleh gaji yang lumayan dalam bidang fisioterapi.

“Ini adalah langkah jangka masa panjang harus digarap oleh peserta TVET dan gaji yang ditawarkan sebenarnya lebih baik kepada mereka yang berkelulusan TVET.

“Kerajaan telah menentukan gaji premium, untuk SKM 2 umpamanya dan SKM 5, pada hemat saya lebih daripada gaji minimum.

“Bidang ini harus diceburi anak-anak muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast