BUTTERWORTH – Bekas eksekutif akaun sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang RM581,492 pada 2022 dan 2023.
Tertuduh, Fatin Atikah Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kesemua pertuduhan, Fatin Atikah yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun dan pentadbiran kepada syarikat Mihasi Enterprise (M) Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM581,492.45 secara berperingkat ke dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah itu dengan curangnya menyalahgunakan wang tersebut.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pengkalan MK 6 Bukit Tengah dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 10 April 2022 hingga 28 Jun 2023.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara setahun hingga 14 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Mukmin Aimi Azmi.
Ketika prosiding, Ahmad Mukmin merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh perlu menyara tiga anak berusia empat hingga lapan tahun selain suaminya hanya bekerja pemandu lori dengan gaji RM1,500 sebulan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 23 Ogos depan. – MalaysiaGazette