PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menyifatkan kes pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu adalah jenayah paling kejam yang jarang ditemui.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin memaklumkan, kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.
Mereka yang kini berusia 28 tahun adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobarin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Hadhariah berkata, mahkamah juga bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah dilakukan itu bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman tetapi hati nurani masyarakat.
“Dalam kes ini, Zulfarhan adalah orang yang tidak bersalah dan perbuatan kesemua tertuduh adalah kejam kerana mangsa telah diikat kaki serta tangan semasa mereka menekap seterika ke atas badan si mati serta memukulnya secara beramai-ramai.
“Kemudian kesemua tertuduh hanya melihat si mati mengelupur kesakitan dan terus menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan si mati termasuk kemaluan (kecuali muka) hingga mengakibatkan 90 kesan lecur.
“Walaupun kesemua tertuduh itu mendengar si mati menjerit berpuluh kali, mereka pekakkan telinga dan menutup mata serta meneruskan perbuatan kejam itu dengan niat jahat, zalim, dan tanpa rasa belas kasihan sesama rakan pengajian.
“Bukan itu sahaja, kesemua tertuduh berniat menyembunyikan kematian si mati bagi mengelakkan perbuatan jenayah diketahui pihak atasan malah tidak membawa mangsa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau yang membacakan alasan penghakiman sepanjang 232 perenggan itu dalam tempoh tiga jam turut berkata, perbuatan sebegitu paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku membabitkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat dan ia harus dihentikan.
“Ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur dan luluh hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.
“Mahkamah tidak akan bertoleransi di dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya.
Tambah Hadhariah, oleh itu mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap kesemua tertuduh yang mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Tegasnya, mahkamah memutuskan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini harus diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati kesemua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun.
Semasa prosiding berjalan, pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai, Solehah Noratikah Ismail dan Joy Jotji Nadrarasan.
Manakala kesemua tertuduh diwakili barisan peguam, Datuk Mohd. Zamri Mohd Idrus, Datuk Hisyam Teh Pok Teik, Datuk Hazman Ahmad, Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M. Ramachelvam, Datuk Hazman Ahmad, Datuk Zamri Mohd. Idrus dan A.G Kalidas.
Kesemua tertuduh yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – MalaysiaGazette