Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghadiri ke Perhimpunan Bulanan KDN di Auditorium KDN, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan pihaknya belum meneliti laporan Forbes Advisor yang telah menyenaraikan Kuala Lumpur (KL) sebagai bandar kelima paling bahaya di Asia Tenggara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, laporan tersebut bertentangan dengan Global Peace Indeks (GPI) yang menyenaraikan Malaysia berada di tempat ke-10 sebagai negara paling aman pada 2024.

“Saya belum baca kayu ukur Forbes (Advisor), saya tidak kata saya nafikan tapi belum baca. Tapi saya telah meneliti kayu ukur yang digunapakai oleh Global Peace Indeks, misalnya angka jenayah dari 100,000 rakyat.

“Misalnya kekuatan anggota polis per 100,000 rakyat. UN paraskan 220 Malaysia 287. Misalnya ada demonstrasi kejam yang menyebabkan kematian nyawa.

“Nilai persepsi terhadap penjenayah di negara ini, ada berpuluh kayu pengukur temasuk peruntukan per kapita termasuk keselamatan yang sangat komprehensif jadi bila Global Peace Indeks siaran bacaaan bahawa Kuala Lumpur nombor 10 daripada 163 di mana Asia Pasifik kita nombor tiga, jadi saya jelas nak ulas tapi kayu ukur Forbes ini saya belum teliti,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tetap komited untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam.

Dalam laporan itu, Forbes Advisor menyenarai bandar yang paling bahaya di Asia Tenggara adalah Yangon, Myanmar manakala negara yang paling selamat di dunia dan rantau ini adalah Singapura.

Sebelum ini, Malaysia pernah tersenarai sebagai negara yang paling disayangi di Asia dan juga berada pada tangga kedua sebagai negara paling aman di Asia Tenggara pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast