KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dana kepada pihak sekolah, namun ia perlu dilakukan mengikut garis panduan yang sudah sedia lama diguna pakai.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya berpendirian sekolah adalah hak milik masyarakat dan sebarang sumbangan dana oleh mana-mana pihak tidak sepatutnya menjadi polemik dan menimbulkan masalah.
Dalam masa sama, beliau menambah, pihaknya sedia memberi bimbingan kepada pihak sekolah dari semasa ke semasa dalam aspek garis panduan pemberian sumbangan dana tersebut.
“Kita akan bantu termasuk kepada pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan itu supaya ia selaras dengan garis panduan kita.
“Saya rasa tidak ada masalah dan tak perlu ditimbulkan sebarang polemik (derma kepada sekolah), kerana itu memang telah pun berjalan begitu lama.
“Tapi barangkali yang diperlukan adalah bimbingan bagaimana dapat kita laksanakan dengan lebih baik dan mendapat ‘donation’ (sumbangan) kepada sekolah dengan lebih banyak,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan majlis penyampaian anugerah pelajar terbaik peringkat kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan MUET 2023 di Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini.
Fadhlina ditanya berkenaan kontroversi sumbangan oleh sebuah syarikat arak yang diterima sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini yang dikatakan untuk membina dewan di sekolah itu.
Beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan bagaimana syarikat arak boleh menyumbang dana kepada pihak sekolah sedangkan sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras (arak) dan seumpamanya adalah dilarang di institusi pendidikan KPM.
Sehubungan itu, KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan ia memandang serius dan sedang menyiasat lanjut berhubung isu itu dan mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan KPM untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan. – MalaysiaGazette