KUALA LUMPUR – Malaysia melahirkan penghargaan kepada Kerajaan China yang memainkan peranan dalam mempertautkan persefahaman dan perpaduan Fatah dan Hamas yang mewakili perjuangan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, deklarasi Beijing ternyata merupakan langkah yang amat penting terutama dalam mencapai hak dan kebebasan buat rakyat Palestin.
“Penghargaan buat Kerajaan Republik Rakyat China dalam memudahcara pertemuan dan perbincangan antara Fatah, Hamas dan dua belas fraksi lain yang membentuk perjuangan Palestin.
“Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya, serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan,” kata Anwar dalam kenyataan.
Tambah beliau, persefahaman dan perpaduan antara Fatah dan Hamas pastinya akan memperkukuh solidariti dalam kalangan rakyat Palestin.
Anwar amat berharap bahawa deklarasi perpaduan tersebut benar-benar diterjemahkan dengan berjaya di semua peringkat serta dalam menongkah sebarang tentangan di masa hadapan.
“Perakuan antarabangsa menjadi yang terpenting saat ini, dan saya menggesa Kerajaan di seluruh dunia yang belum memperaku Negara Palestin untuk segera memperakuinya, selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan ini.
“Kesemua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadab Israel dihentikan. Malaysia bersedia untuk mencurahkan tenaga dan keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan,” kata Anwar.
Media antarabangsa hari ini melaporkan, Hamas dan Fatah dan 12 kumpulan Palestin menandatangani perjanjian perpaduan di Beijing yang bertujuan untuk mentadbir dan menguruskan Gaza
Puak-puak terbabit telah menandatangani perjanjian “perpaduan nasional” yang bertujuan untuk mengekalkan kawalan Palestin ke atas Gaza sebaik sahaja perang Israel ke atas wilayah itu berakhir.
Menteri Luar China, Wang Yi berkata, perjanjian itu dimuktamadkan pada hari Selasa di China selepas tiga hari rundingan intensif, meletakkan asas untuk “kerajaan perdamaian nasional sementara” untuk memerintah Gaza selepas perang. -MalayisaGazette