Dong Yao yang dilaporkan hilang selepas berjalan kaki pulang dari sekolah seorang diri di Mount Austin, Johor Bahru, tengah hari tadi, ditemukan selamat.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang semasa pulang dari sekolah di Mount Austin, di sini tengah hari tadi ditemui selamat.

Mangsa, Cheng Dong Yao murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 5 ditemui berada dalam sebuah pusat beli-belah Taman Desa Tebrau, di sini pukul 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa ditemui anggota dari Balai Polis Setia Indah yang melakukan operasi pencarian bersama ibu mangsa.

“Mangsa dikatakan berjalan kaki seorang diri dari sekolah sehingga ke pusat beli-belah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Dong Yao dilaporkan hilang selepas pulang dari SJKC Foon Yew 5 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat menggalas beg dan berpakaian sekolah berjalan kaki seorang diri selepas dipercayai terlepas bas sekolah.

Kejadian ini mencetuskan kegemparan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun diculik di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri pada malam Sabtu.

Bagaimanapun Albertine Leo Jia Hui berjaya diselamatkan dalam sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada pukul 4.45 pagi tadi. – MalaysiaGazette