JOHOR BAHRU – Kematian bapa dan kesusahan ibu yang bekerja keras menyara keluarga menjadi inspirasi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sekolah Sultan Ismail (SSI) di sini meraih keputusan cemerlang 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Kua Jun Xuan, 20, yang memperoleh A dalam empat subjek aliran sains yang diambilnya menganggap kejayaan tersebut adalah berkat usahanya yang tidak pernah putus asa dalam pelajaran.
Dia yang merupakan anak sulung daripada dua beradik gemar mengulang kaji pelajaran ketika pukul 2 pagi hingga waktu subuh yang dianggapnya lebih tenang dan mudah ‘masuk’ kepala.
“Selepas kematian bapa lima tahun lalu akibat penyakit kencing manis, saya menjadi lelaki tunggal dalam keluarga dan berhasrat mahu berjaya dan membela nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman STPM di Dewan SMK SSI di sini hari ini.
Ibunya, Julie Fam May Lin, 51, bekerja di sebuah institusi perbankan di Singapura dan hanya pulang setiap hujung minggu dan dia bersama adik perempuan dijaga oleh nenek berusia 80 tahun.
“Saya bangun awal ketika ulang kaji pelajaran kerana ketika itu tiada gangguan. Pada saya formula belajar adalah set dalam minda untuk fokus dalam pembelajaran dan jangan sekali berputus asa kerana pasti akan berjaya akhirnya,” katanya.
Jun Xuan berkata, dia berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang kejuruteraan selepas ini.
Sementara itu, Julie Fam pula berkata, setiap minggu dia pasti pulang ke rumah di Taman Suria di sini untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga.
“Jun Xuan anak yang baik, banyak membantu saya. Malah dia juga bekerja sambilan sebagai guru di sebuah Pusat Tuisyen mengajar subjek tingkatan empat dan lima iaitu Fizik, Kimia, Matematik Moden dan Sains.
“Saya sangat gembira dengan keputusan cemerlangnya. Sebenarnya sokongan dan dorongan kepada anak adalah kunci kejayaan mereka,” katanya.
Sementara itu, pelajar cemerlang STPM aliran kemanusiaan, Sohaib Hakimi Irfan Safdar, 20, pula berkata, selain fokus dalam kelas, bertanya kepada guru juga membantunya meraih kejayaan.
Katanya, keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam semua subjek didedikasikan khas buat ibu dan bapanya.
“Saya perlu menjadi contoh kepada tiga adik yang lain untuk berjaya, dan tidak berputus asa,” ujarnya. – MalaysiaGazette